KELUARGA Moey Yun Peng mengesahkan pelajar yang terhumban dalam laut di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai, semalam, adalah rakan kepada pemandu Toyota Vios.
Kakak ipar kepada Moey yang enggan dikenali berkata, pemandu kedua-dua kenderaan itu bagaimanapun tidak rapat dan enggan mengulas lanjut.
“Mereka hanya rakan biasa dan jarang menghabiskan masa berdua, tetapi kurang pasti bagaimana boleh bersama-sama terbabit dalam kemalangan, awal pagi, semalam.
“Saya juga ada dengar dakwaan pemandu Toyota Vios itu sering terbabit dalam kemalangan sebelum ini,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.
Terdahulu, beliau ditemani teman wanita Moey dan keluarga mangsa hadir ke pos kawalan tempat kejadian di Pangkalan Pasukan Polis Marin, Batu Uban di sini, bagi mendapatkan maklumat terkini kejadian terbabit.
Sementara teman wanita Moey sempat memberitahu yang mereka sudah dua tahun berkawan sebelum menangis dan berlalu pergi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi semalam, kenderaan utiliti sukan (SUV) putih dipercayai dipandu Moey, 20, terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta jenis Toyota Vios, ketika dalam perjalanan dari Georgetown menghala ke Seberang Perai.
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dalam jarak seluas 2 batu nautika dari lokasi kejadian, membabitkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Polis Marin.
Sementara itu, abang kepada Yun Peng yang juga enggan dikenali mengesahkan mangsa memandu SUV putih itu sendirian, selain telefon bimbit milik pelajar sebuah kolej swasta itu tercampak di atas jalan raya, berkemungkinan impak akibat pelanggaran ketika kejadian.
sumber : harian metro
0 orang komen:
Post a Comment